Sinopsis :
Cerpen “Capa Rengat” mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai
kehidupan di kampung ibunya. Pada waktu petang, “Aku” akan mengikut bapa
saudaranya Pak Cik Kinto, ke bukit-bukit di keliling kampung untuk
menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di
sungai. Hubungan Pak Cik KInto dan “Aku” seperti belangkas.
Pada sebelah petangnya, “Aku” tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Kinto
pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu “Aku” pula berasa bosan tinggal lebih
lama di kampung. “Aku” mengambil keputusan merayau-rayau di sekeliling kampung.
Ketika lalu di sebidang paya, “Aku” melihat lima orang anak muda sedang bermain
di bahagian tepi paya.
Seorang budak perempuan, Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama mereka.
Permainan yang dimainkan begitu janggal dan “Aku” berasa kekok pada permulaannya
tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok “Aku”. Akhir
sekali, “Aku” diajak bermain rumah katak. Setiap kali rumah katak “Aku”
siap dibina, Su akan memecahkannya.
“Aku” cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan “Aku”. Rupa-rupanya,
Su begitu lincah meniti batang dan melompat hingga ke seberang paya.
Tanpa diduga, Su menghampiri “Aku” dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa
Rengat atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai
perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.
Tiba-tiba, ketika “Aku” dan Su asyik membina jalan menuju pintu masuk
kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su.
Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera. “Aku” mengenal pasti Su
mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak
yang memanggilnyaSu itu ialah adik tirinya
Pada sebelah malamnya, “Aku” tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan
di dalam botol berisi air. “Aku” ingin merasai kesegaran bau wangi Capa
Rengat dalam tidur.
Setelah sehari berada di kampung , ibu memutuskan siri lawatan ke kampung
dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di
kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. “Aku” berasa terharu untuk
meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.
Dalam keadaan separuh sedar , “Aku” bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya
untuk pulang ke kampung semula. Malangnya, ibu melahirkan ketegasan untuk tidak
pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka sudah selesai.
Keputusan ibu membuatkan “Aku” sedih apabila “Aku” terpandang bunga Capa Rengat
yang sudah layu dan terkenangkan wajah Su.
Tema :
Perasaan cinta pada
kehidupan dan suasana di kampung. “Aku” telah mengalami pengalaman yang
menarik hidup di kampung. Contohnya, semasa “Aku” mengikut Pak Cik Kinto
menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.
Persoalan :
1. Persoalan
perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya.
Contoh: Aku yang berasal dari bandar menyukai Su yang
tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.
2. Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan.
Contoh: Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada aku
menyebabkan aku amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan
kampung walaupun pada asalnya aku amat tidak selesa berada di kampung.
3. Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah
Tuhan.
Contoh: Dapat dilihat pada watak aku yang nenghargai dan menjaga
Capa Rengat yang diberikan oleh Su.
4. Persoalan mengenang kembali tempat asal usul.
Contoh: Su seronok mandi sungai dan
bermain ‘kota Buatan’ tempat asal ibunya.
Plot :
Permulaan
Aku pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan
tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto,
bapa saudara “Aku”. Pada waktu pagi, Pakcik Kinto melayani “Aku” dengan
membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.
Perkembangan
Pada sebelah petang, “Aku” merayau-rayau di sekeliling kampung
kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam. “Aku” bertemu
dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang
budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama
dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan Aku sekuntum bunga Capa
Rengat (melur hutan). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki
tiri nya pulang ke rumah. “Aku” pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa
Rengat dalam botol berisi air.
Klimaks
Keesokan paginya, “Aku” dikejutkan dengan keputusan ibu untuk
pulang ke kota. “Aku” berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak
merasai kenikmatan suasana kampung.
Peleraian
“Aku” pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian
bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.
Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut
kronologi urutan masa.
1. Pemerian
Contoh: Kami
menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan.
Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patahnya,
kalau-kalau bertemu denak.
2. Dialog
Contoh: “Cantik,ya !” kata budak perempuan itu.
“Cantik, “ jawabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.
3. Kejutan
Contoh:
Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa “Aku” sedang bermain dengan
Su dan kawan-kawannya.
Watak dan Perwatakan :
“Aku” - Seorang anak remaja.
- Menghargai alam sekitar.
- Proaktif dan cergas.
- Mempunyai pandangan bernas.
- Berfikiran positif.
- Pertengahan usia
- Tegas dengan pendirian.
- Sikap terburu-buru membuat keputusan.
- Prihatin terhadap orang lain.
- Berperilaku mesra
Su
- Budak perempuan awal remaja.
- Bersikap periang.
- Aktif dan cergas.
- Bijak mengolah keadaan.
- Taat kepada ibu
Pakcik Kinto
- Bapa saudara “Aku”.
- Mahir selok-belok di kampung.
- Mempunyai kemahiran menembak.
- Ikhlas melayani tetamu.
- Melaksanakan urusan dengan cekap
Latar :
Masa
Cerita berlatarkan masa
sehari “Aku” tinggal di kampung. Peristiwa-peristiwa diolah oleh
pengarang merentasi waktu pagi, petang, dan malam.
- Pagi – “Aku” dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.
- Petang – “Aku” dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
- Malam – “Aku” tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.
Tempat
Latar tempat cerita
berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang bukit-bukau
dan tanah paya.
- Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto – tempat Pak Cik Kinto membawa “Aku” bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
- Paya – tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.
- Rumah Pak Cik Kinto – tempat “Aku” dan ibu bermalam ketika pulang ke kampung.
Masyarakat
1.
Masyarakat bandar
Contoh: Diwakili
oleh watak aku yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu
mula-mula sampai di kampung.
2. Masyarakat
kampung
Contoh: Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.
3. Masyarakat yang
berpegang teguh pada ajaran Islam
Contoh: Ibu
membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana
untuk menutupi aurat.
4. Masyarakat yang
menghargai alam sekitar
Contoh: Su sangat
mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahkan aku bunga Capa
Rengat.
5. Masyarakat yang
suka berburu
Contoh: Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.
Gaya Bahasa :
1. Kata Ganda
Contoh: Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik
2. Anafora
Contoh: Mengapa jadi sayu? Mengapa jadi
kesepian?
3. Inversi
(Keterbalikan ayat)
Contoh: Demi memandang gunung-ganang
dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa
kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu
hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.
4. Personifikasi
Contoh: Melahirkan sinar cemburu.
5. Simile
Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.
6. Simpulan bahasa
Contoh: Seperti belangkas
Nilai :
1. Nilai
keberanian
Su berani untuk meniti
di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam.
2. Nilai hemah
tinggi
Su dan rakan-rakanya
menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali
berjumpa.
3. Nilai kerajinan
Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.
4. Nilai kerjasama
Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.
Pengajaran :
1. Kita hendaklah
menghargai alam sekitar.
Pak Cik Kinto dan aku
menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.
2. Kita hendaklah
menghargai persahabatan.
Contoh: Aku
menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang
diberi oleh Su kepadanya.
3. Kita hendaklah
menyemaikan kasih sayang antara keluarga.
Contoh: Aku menyayangi Pak Cik
Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.
4. Hendaklah kita
bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar.
Contoh: Su,aku dan
rakan-rakannya bekerjasama membina rumak katak dan jalan ke rumah katak.
Latihan :
1. Apakah gaya
bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Cantik,ya !” kata
budak perempuan itu.
“Cantik,” jawabku
pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.
2. Nyatakan nilai
yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Hei…! Nanti kau
jatuh!” aku berseru demi melihat tangannya tergewang-gewang meniti batang.
assalamualaikum..
ReplyDeletemacam mana sy boleh dapatkan cerpen ni?
saya nak kena buat kajian pasal cerpen ni..